suria

Koperal Polis, Anak Maut Hari Keempat Aidilfitri

SEREMBAN: Seorang anggota polis dan anak perempuannya maut apabila kereta mereka melanggar belakang sebuah lori sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan lain di Km 327 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tol Pedas, Isnin.

Koperal Rubaie Abdul Rahman, 41, yang bertugas di Balai Polis Simpang Tiga di Ijok dan anaknya Nur Aziera, 15, mati di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata kemalangan pada pukul 6.15 pagi yang membabitkan kereta Proton Waja yang dinaiki Rubaie bersama isteri dan tiga anak perempuannya, sebuah lori dan sebuah Toyota Avanza serta sebuah bas itu turut menyebabkan lapan yang lain cedera.

Beliau berkata ketika kejadian Rubaie bersama anggota keluarganya dalam perjalanan untuk berhari raya dan menghadiri kenduri arwah 100 hari ayahnya di Kampung Sungai Bilah, Muar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

"Mangsa yang memandu di lorong tengah gagal mengawal keretanya lalu merempuh belakang sebuah lori satu tan menyebabkan kereta mangsa melintang di tengah lebuh raya.

Sebuah kereta Toyota Avanza yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan (sebelah pemandu) kereta mangsa," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Beliau berkata lori terbabit pula dilanggar oleh sebuah bas ekpress menyebabkan lori tanpa muatan itu putus dua.

Mereka yang cedera ialah isteri Rubaie iaitu Rasidah Abdul Samad, 37, serta dua anak perempuan mereka Fatin Adila, 9, dan Fara Elisa, 5, pemandu serta dua kelindan lori dan pemandu serta seorang penumpang Toyota Avanza.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Tampin.

Beliau berkata impak kuat kemalangan itu menyebabkan Nur Aziera yang duduk di kerusi belakang tercampak keluar daripada kereta manakala Rubaie pula tersepit di tempat duduk pemandu.

Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Rembau mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mayat Rubaie, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain