suria

Kebakaran Akhiri Keriangan Sambutan Syawal Keluarga Pengusaha Beras Organik

ALOR SETAR: Keriangan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tiga keluarga berakhir dengan tragedi apabila rumah mereka hangus dijilat api di Kampung Parit Buaya di sini awal pagi ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi Isnin itu disedari seorang anggota keluarga yang terjaga dari tidur kerana terasa bahang panas dari tingkat atas rumah.

Mohd Zulkarnain Karman, 34, yang berada di bilik bawah rumah tersebut berkata beliau bergegas keluar dan mengejutkan bapa mertuanya, Khalid Rejab, 64, yang tidur di bilik sebelah bagi memaklumkan bahawa rumah mereka terbakar.

"Bapa mertua saya naik ke rumah atas dan memanggil ahli keluarga yang lain manakala saya meyelamatkan kereta dan motosikal yang berada di luar rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, Khalid yang merupakan pemilik rumah tersebut berkata selepas dikejutkan menantunya, beliau bergegas mengejutkan anak dan cucu lain yang tidur di tingkat atas rumah tersebut.

"Semasa naik ke atas, api sudah mula marak. Saya mengejutkan semua anak dan cucu yang tidur di atas. Saya cuba menutup suis utama tetapi saya terkena kejutan elektrik menyebabkan saya kebas di bahagian kanan badan.

"Semasa cuba berjalan, saya terpijak api yang sedang membakar tikar getah di lantai menyebabkan kedua-dua belah tapak kaki saya melecur," katanya yang mengusahakan beras organik.

Satu daripada tiga tan beras organik yang berada di rumah Khalid juga turut musnah.

Selain itu, beliau berkata barangan pengantin yang dimiliki seorang daripada anaknya juga hangus.

"Anak saya menjalankan perniagaan barangan pengantin. Semua kelengkapan bilik pengantin dan pelamin habis musnah," katanya.

Beliau berkata tahun ini semua anak, menantu dan cucunya pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumahnya.

"Kemeriahan raya yang disambut baru-baru ini semuanya hanya tinggal kenangan. Semua barang musnah dalam sekelip mata.

"Yang dapat diselamatkan hanyalah kereta dan motosikal sahaja, tetapi saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat," katanya yang memberitahu semasa kejadian, terdapat 12 anggota keluarganya di dalam rumah tersebut.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Tun Razak Md Noor Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.09 pagi dan sebanyak 3 jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Seramai 16 anggota bertungkus-lumus memadamkan api dan api dapat dikawal dalam masa kira-kira 10 minit," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain