suria

Filem Ganas Mesti Disekat

KUALA LUMPUR: Pendedahan dan pengaruh anasir keganasan dalam filem mesti disekat jika negara serius hendak mengatasi masalah jenayah keganasan, kata naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kejahatan, dendam dan kekejaman berleluasa semakin menjadi norma dalam filem-filem kita dan dihidangkan hampir setiap hari.

"Aksi-aksi ini sering diberi sanjungan. Malah kartun juga mula dimuat dengan adegan ganas," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau mengulas kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. Mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke sebatang sungai di Tanjung Sepat, Banting.

Menurut Lee, budaya keganasan mesti ditangani secara menyeluruh memandangkan ia mula bertapak dalam masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie mengecam pembunuhan kejam itu, dan mahu tindakan setimpal dengan undang-undang dikenakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Beliau mengingatkan orang ramai khususnya kaum wanita agar lebih berwaspada berkaitan dengan hal keselamatan, dan menyatakan kementeriannya akan melancarkan kempen kesedaran keselamatan 'City Survival Skill' dalam masa terdekat.

Presiden Majlis Usahawan Malaysia (MUM) Datuk Suhaimi Yacob berpendapat tragedi yang menimpa Sosilawat, tokoh usahawan wanita yang berjaya itu, merupakan satu kehilangan besar buat negara.

Katanya, Sosilawati telah berjaya melahirkan ramai usahawan di seluruh negara melalui rangkaian perniagaan produk kosmetiknya dan berharap ahli keluarganya dapat meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh Allahyarham.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain