suria

Perhalusi Cadangan Benar Ringgit Didagangkan Luar Pesisir

KUALA LUMPUR: Sebarang langkah untuk membolehkan Ringgit didagangkan semula di luar pesisir perlu dipertimbangkan dengan sehalus-halusnya, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Menurut laporan baru-baru ini, peniaga mata wang memperdagangkan kira-kira US$4 trilion sehari... tetapi tiada kesan sumber penghasilan tambahan seperti peluang pekerjaan dan faedah lain kepada rakyat," kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan dekat sini.

Beliau berkata krisis kewangan Asia pada 1997 adalah akibat kegiatan para peniaga mata wang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara dalam rancangan The CNBC Conversation pada Sabtu berkata Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk membenarkan Ringgit didagangkan di luar pesisir jika langkah itu dapat membantu ekonomi negara.

Dagangan luar pesisir mata wang Ringgit dilarang pada 1998 ketika kemuncak krisis kewangan Asia.

Bagi merangsang ekonomi Malaysia, Dr Mahathir berkata pelabur-pelabur tempatan perlu diberi sokongan oleh kerajaan kerana mereka boleh mengisi lompang akibat kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) dalam negara.

Katanya Malaysia kini berhadapan dengan kemerosotan FDI kerana para pelabur lebih berminat melabur di negara lain seperti China dan Vietnam.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata pengukuhan Ringgit bukanlah sesuatu yang membimbangkan kerana ini bermakna negara boleh mengimport pada harga lebih murah.

"Ia akan membantu mengurangkan kos pengeluaran dan ia satu petunjuk kepada keyakinan dan kekuatan ekonomi Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain