suria

Buktikan Emak Meninggal Dunia - Anak Sosilawati

KUALA LUMPUR: "Kalau betul mak tak ada lagi, tunjuk depan Rina. Abah cari mak."

Menurut sumber terdekat keluarga Datuk Sosilawati Lawiya, anak keempatnya, Erinawati Sofia Buhari, 18, tidak dapat menahan rasa sedih sejurus menonton sidang akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin mengenai penemuan empat mayat yang dikatakan termasuk ibunya.

Berdasarkan khidmat pesanan ringkas yang diterima wartawan mStar Online daripada sumber terbabit, Erinawati meraung sebaik sahaja mengetahui nasib ibunya bersama tiga rakan lelakinya yang lain itu.

Bagaimanapun, kesemua anggota keluarga Sosilawati enggan menemui media selepas menerima berita sedih berhubung penemuan empat mayat di sekitar Ladang Gadong, Tanjung Sepat, pada malam Sabtu.

Sementara itu, seorang ahli keluarga Sosilawati dilihat menangis di perkarangan rumah jutawan kosmetik itu di Lot 9933, Taman Harmonis, Gombak sambil ditenteramkan oleh dua orang yang lain.

Setengah jam selepas pengumuman itu, dilihat semakin ramai sanak-saudara mahupun kenalan pengasas produk kecantikan itu datang ke rumah beliau.

Tinjauan mStar Online di banglo tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad mendapati ahli keluarga Sosilawati berkumpul di situ bagi menanti perkembangan seterusnya berkaitan kes tersebut.

Dalam pada itu, menurut abang sepupu kepada Sosilawati iaitu Elias, abang dan adik pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu telah ke Banting pada sebelah pagi bagi membantu siasatan polis.

"Anak-anak setakat ini okey. Mereka masih tunggu perkembangan daripada polis," katanya.

Elias turut memberitahu, mereka menerima panggilan daripada polis pada pukul 12.30 tengah hari yang memaklumkan bahawa kemungkinan penemuan mayat tersebut melibatkan Sosilawati.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain