suria

Taib: Pertemuan Dengan Presiden SUPP 'Satu Pertukaran Pendapat'

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mendedahkan hari ini bahawa beliau bertemu dengan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan pada Khamis dan telah "bertukar-tukar pendapat" dengannya.

Taib berkata pertemuan itu berlangsung dengan baik dan Dr Chan telah memberitahunya bahawa SUPP tidak akan keluar meninggalkan Barisan Nasional (BN).

"Kami telah bertukar-tukar pendapat, yang butirannya tidak dapat saya dedahkannya.

Saya telah memberikannya perspektif saya tentang bagaimana masyarakat Cina melihat masalah ini dan bagaimana kami boleh membawa mereka untuk bekerjasama dengan kaum-kaum lain," katanya kepada pemberita di sini.

Taib berkata beliau telah meminta Dr Chan untuk mencari kaedah-kaedah baru untuk mendekatkan kaum Cina dan menjelaskan kepada mereka akan idea-idea dan aspirasi kerajaan.

"Jika mereka tidak dapat memahami idea-idea ini, mereka tidak ikut serta dalam pembangunan dan akan ketinggalan di belakang," kata beliau.

Taib berkata beliau telah berjuang untuk membantu kaum Cina di negeri ini.

"Saya telah membantu masyarakat Cina secara umum. Jangan beritahu saya kaum Cina tidak mendapat faedah daripada kemakmuran kita secara umum," katanya.

Sementara itu, Dr Chan berkata Taib banyak membantu dalam isu-isu yang menjejaskan masyarakat Cina, termasuk keperluan untuk membantu sekolah-sekolah Cina dan isu rebat premium tanah.

"Dengan sokongan kuat daripada Ketua Menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kami berharap pilihan raya negeri (akan datang) menjadi lebih mudah bagi SUPP," kata beliau.

Kedudukan SUPP dalam BN negeri menjadi spekulasi selepas beberapa anggota akar umbi menyatakan tiada lagi tujuan bagi parti itu untuk terus kekal dalam B NSarawak jika isu-isu yang dihadapi kaum Cina terus tidak dapat diselesaikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain