suria

PPSB Tambah Perkhidmatan Feri Tangani Kesesakan Di Jambatan P.Pinang

GEORGE TOWN: Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menambah perkhidmatan feri hari ini berikutan kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah jambatan itu.

Pegawai bertugas Mohamed Rani Harun berkata PPSB memutuskan menambah sebuah lagi feri menjadikan enam feri beroperasi hari ini bagi mengurangkan kesesakan teruk di atas jambatan terbabit.

"Biasanya hanya lima feri disediakan setiap hari dengan kekerapan lapan minit, tapi hari ini PPSB tambah sebuah lagi iaitu jumlah maksimum," katanya ketika dihubungi.

Katanya feri keenam itu mula beroperasi pada pukul 3.05 petang dan dijangka berterusan sehingga keadaan trafik di atas jambatan kembali lancar.

Mohamed Rani berkata sehingga pukul 3.30 petang, panjang barisan kenderaan yang menunggu untuk menggunakan feri di pulau telah melebihi dua kilometer.

"Banyak kenderaan dilihat menunggu dalam barisan dari jeti Raja Tun Uda sehingga ke kawasan Esplanade," katanya.

Sementara itu, barisan kenderaan menunggu menaiki feri di jeti Sultan Abdul Halim di Butterworth juga semakin panjang sehingga ke Bagan Ajam.

Pagi ini ribuan kenderaan terperangkap di atas jambatan tersebut selepas kabel voltan tinggi TNB terbakar di Km 2 menghala ke sini.

Kejadian itu memaksa penutupan lorong kanan di kedua-dua arah menyebabkan trafik sesak sehingga 10 kilometer, selain kepulan asap hitam tebal menyebabkan pengguna berhati-hati. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain