suria

Pertumbuhan Malaysia Sekurang-Kurangnya 6 Peratus Tahun Ini - Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk mencatatkan sekurang-kurangnya enam peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010, sebahagian besarnya dijana oleh permintaan dan penggunaan domestik, manakala faktor luaran pula terus agak lembap.

"Kami yakin dapat mencapai pertumbuhan yang agak kukuh tahun ini. Kami seharusnya mencatatkan sekurang-kurangnya enam peratus," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara dalam rancangan The CNBC Conversation oleh pengacara Martin Soong.

Beliau berkata di sebalik pertumbuhan mengejutkan sebanyak 9.5 peratus dalam separuh pertama tahun ini, pertumbuhan keseluruhan adalah sederhana berikutan jangkaan momentum yang semakin perlahan dalam separuh kedua.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan KDNK bagi suku pertama dan kedua 2010, masing-masing 10.1 peratus dan 8.9 peratus.

Dalam separuh pertama tahun ini, pertumbuhan negara dipacu oleh perluasan mapan dalam permintaan domestik dan pertumbuhan kukuh dalam permintaan luaran.

Najib berkata di bawah Model Baru Ekonomi, kerajaan telah mengenal pasti punca untuk memperoleh sumber baru pertumbuhan, termasuk cara untuk memulihkan semula pelaburan sektor swasta.

"Kami mahu sektor swasta melaksanakan peranan yang lebih dominan. Sebenarnya, kami telah pun menyatakan dengan amat jelas bahawa untuk mencapai sasaran yang tinggi, kami perlu meningkatkan RM150 bilion setahun daripada segi pelaburan keseluruhan. Jadi, itu adalah usaha yang sangat besar," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu menyelesaikan beberapa kebimbangan, sebagai contoh, yang berhubung kait dengan kemahiran.

"Kami perlu memastikan bahawa kami menggerakkan rantaian nilai daripada segi tahap kemahiran, jadi kami perlu meningkatkan pembangunan modal insan," katanya.

Najib berkata negara juga perlu melihat kepada sumber baru pertumbuhan, dan pertumbuhan dapat diperoleh bukan hanya daripada penggunaan dan permintaan, tetapi juga pertumbuhan daripada inovasi.

"Jika anda mahu mencatatkan enam peratus, tujuh peratus (pertumbuhan KDNK), maka inovasi akan menjadi sumber utama untuk mencapainya," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain