suria

Misi Untuk Membantu Masyarakat Di Juhi Berjaya:Azeez

KARACHI: Kelab Putera 1Malaysia pada Sabtu berjaya menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama menghulurkan bantuan kepada kira-kira 5,000 masyarakat di Juhi, pedalaman daerah Dadu, yang sebelum ini gagal dimasuki ekoran paras air yang tinggi.

Presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata bantuan menerusi dua buah lori yang membawa muatan 20 tan tepung atta (tepung membuat capati), susu tepung, bahulu dan air mineral.

"Sebelum ini, kita cuba memasukinya dan kita begitu hampir. Tetapi atas arahan keselamatan, kita terpaksa berpatah balik.

Namun hari ini kita berjaya memberikan bantuan kepada masyarakat di situ dengan menggunakan lori yang membawa muatan seberat 20 tan," katanya di sini.

Khamis lepas, kelab itu yang menempuh perjalanan sejauh kira-kira 620 kilometer selama 20 jam, terpaksa berpatah balik kerana keadaan paras air yang masih belum surut ketika berada tidak jauh dari Juhi.

Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Pakistan selama 10 hari yang diketuai oleh Abdul Azeez dan tamat hari ini, disertai 68 sukarelawan termasuk 40 doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media massa.

Kesemua sukarelawan Malaysia yang berlepas pulang pada pukul 2.50 pagi (5.50 pagi waktu Malaysia) ini dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 11 pagi waktu tempatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain