suria

Kabinet Sabah Terjejas Jika Hanya Pemimpin Parti Di Sabah Dibenar Sertai Kabinet

KOTA KINABALU: Kedudukan separuh anggota Kabinet Sabah akan terjejas jika hanya pemimpin atau wakil rakyat yang dilantik daripada parti di Sabah sahaja dibenarkan sertai Kabinet, kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok.

Ini, kata beliau berkemungkinan menimbulkan satu masalah.

Namun, Dompok berkata perlu ada satu perbincangan lanjut di kalangan para pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), daripada segi kemungkinan pelantikan wakil rakyat dilantik daripada parti yang berpusat di Semenanjung sebagai seorang daripada tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

"Saya akan mengemukakan pandangan kami kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengenai perkara ini sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan UPKO Bahagian Kota Kinabalu di sini, Sabtu.

Dompok diminta mengulas pendirian Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bahawa jawatan timbalan ketua menteri diberikan kepada parti yang berpusat di Sabah, berikutan peletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Belia dan Sukan Peter Pang En Yin daripada Parti Liberal Demokratik pada 1 September.

Namun, Ketua Menteri masih mengekalkan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kabinet sehingga perbincangan diadakan dengan para pemimpin parti komponen BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain