suria

Jaminan Umno Jauhi Perkasa Bukti Parti Induk BN Tidak Taja NGO Itu: Koh

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan jaminan Umno untuk menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dapat menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa Umno dan Perkasa berkait rapat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi gambaran jelas Perkasa ialah badan bukan kerajaan (NGO) seperti mana NGO lain tanpa anjuran atau tajaan mana-mana parti politik.

"Kenyataan beliau (Tengku Adnan) sekali gus membuktikan dakwaan tentang Perkasa adalah satu organisasi yang ditubuhkan oleh Umno atau yang dikatakan sebagai 'outsourcing', sebenarnya tidak benar dan tidak berasas," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Koh berkata kenyataan itu juga mencerminkan pendirian liberal Barisan Nasional (BN)terhadap semua kaum walaupun berpaksi kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Beliau yang ditemui selepas pelancaran Kamus Kembangan di sini diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan bahawa Umno tidak menyokong Perkasa mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali.

Mengulas mengenai kamus tersebut, Koh berkata penerbitan Kamus Kembangan yang merangkumi tiga bahasa iaitu Inggeris, Mandarin dan Melayu dapat membawa faedah besar kepada pengguna.

Ia dapat dimanfaatkan menerusi penguasaan lebih daripada satu bahasa oleh rakyat Malaysia selaras dengan konsep 1Malaysia, katanya.

Justeru, kata Koh Kementerian Pelajaran wajar mempromosikan penggunaan kamus sedemikian pada kalangan pelajar untuk melahirkan golongan muda yang berkemampuan dalam tiga bahasa sekali gus.

"Sekiranya kita mampu berkomunikasi dalam dwibahasa atau tribahasa, kita akan mempunyai satu penarik daya saing yang penting dan utama untuk memajukan ekonomi serta pertukaran budaya di peringkat negara dan antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain