suria

Amerika Tidak Boleh Untuk Tidak Punyai Dasar Serius Terhadap Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Amerika Syarikat tidak boleh untuk tidak mempunyai dasar yang serius terhadap Asia dan mesti melibatkan rantau yang penting ini secara serius.

"... penglibatan yang sangat serius terhadap Asia, dan ia seharusnya jelas dalam banyak cara," katanya ketika ditanya mengenai mesej beliau kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa diwawancara oleh stesen televisyen CNBC Asia, Sabtu.

Pertama sekali, negara berkenaan mesti bersikap serius terhadap Asean dan "juga untuk kami menjadi sebahagian daripada reka bentuk yang lebih meluas," katanya dalam wawancara itu yang dikendalikan oleh pengacara Martin Soong.

"Sebagai contoh, perkongsian rentas Pasifik. Malaysia berminat untuk menjadi sebahagian daripadanya kerana kami berpendapat kami boleh menambah nilai kepadanya memandangkan kami merupakan sebuah negara perdagangan utama.

"... dan Amerika sangat positif mengenai pembabitan Malaysia dalam perkongsian rentas Pasifik dan tidak lupa juga bidang lain dalam keselamatan, anti-keganasan dan sebagainya," kata Perdana Menteri.

Asia adalah sebuah kawasan penting dan paling utama, ia merupakan kawasan pertumbuhan, jadi dalam banyak bidang, hubungan antara Amerika Syarikat dan Asean merupakan hubungan yang sangat penting, kata Najib.

Perdana Menteri dijangka bertemu Obama semasa Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat yang dijadual 24 September ini di New York. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain