suria

Remaja Lelaki Yang Ingin Beraya Bersama Rakan Mati Lemas

PENDANG: Hasrat seorang remaja lelaki yang ingin beraya bersama rakannya tidak tercapai apabila beliau mati lemas selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu terhumban ke dalam sungai Titi Haji Ideris dekat sini.

Mayat Mohd Firdaus Mohd Saad, 17, dari Kampung Alor Melintang dekat sini dijumpai tersangkut di tiang jambatan di sungai itu pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari selepas terjatuh ke dalam sungai itu pada kira-kira pukul 11 pagi.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Jalan Tun Razak, Alor Setar, Kamis Idris berkata dalam kejadian itu, mangsa yang ingin beraya di rumah rakannya di Langgar dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terhumban ke dalam sungai berkenaan.

Sebelum itu, mangsa, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tajar di sini, berkonvoi dengan beberapa rakannya dari Pendang tetapi beliau meneruskan perjalanan seorang diri selepas konvoi itu berhenti untuk mengisi petrol di stesen minyak berdekatan.

Abang mangsa, Ayub Saad, 35, berkata selepas beliau menerima panggilan dari adik perempuannya Siti Habibah mengenai kejadian itu, beliau bergegas ke tempat kejadian.

Ayub memberitahu pemberita, beliau bersama anggota Bomba dan Penyelamat mencari Mohd Firdaus dan setelah menyelam beberapa kali, mangsa ditemui tersangkut pada tiang jambatan tidak jauh dari tempat beliau terjatuh di sungai itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain