suria

Lelaki Disyaki Curi Kabel Mati Dipercayai Selepas Dibelasah

KOTA BAHARU: Polis menemui mayat seorang lelaki selepas dipercayai dipukul oleh penduduk kampung kerana disyaki cuba mencuri kabel telefon di Kampung Limbat, Chekeli, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 41 tahun berasal dari Kampung Baung, dekat sini, ditangkap ketika dia cuba melarikan diri untuk bersembunyi di sebuah rumah selepas dikejar oleh penduduk yang sedang membuat rondaan, kira-kira pukul 4 pagi.

Bagaimanapun, rakan mangsa sempat melarikan diri dalam kekecohan itu.

Seorang saksi, yang juga pemilik rumah terbabit, Mohamad Abdul Rahman, 69, berkata beliau terkejut daripada tidur apabila mendengar suara orang ramai bising seperti mengejar sesuatu di hadapan rumahnya.

"Setelah membuka pintu, saya nampak orang ramai berada di depan tangga rumahnya bersama seorang lelaki diikat tangannya ke belakang.

"Saya cepat-cepat menutup pintu kerana takut terjadi apa-apa sambil menghalau mereka pergi," katanya.

Katanya sejak kebelakangan ini kejadian pecah rumah sering berlaku di kampung itu dan ini menyebabkan penduduk terpaksa mengadakan rondaan keselamatan setiap malam.

Penduduk kampung terbabit menghubungi polis untuk membawa mangsa tetapi dia dipercayai meninggal dunia sebelum polis tiba di kampung berkenaan.

Menurut sumber polis, lelaki itu memang dikehendaki polis kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Baharu atas kes pecah rumah, Ahad ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Asisten Komisioner (ACP) Zaharuddin Abdullah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan.

"Kita akan menyiasat dari beberapa aspek, termasuk punca kematian lelaki itu dan kes-kes jenayah yang melibatkannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain