suria

Ketibaan Syawal Di New Zealand Disambut Dengan Perasaan Gembira Campur Sedih

WELLINGTON: Hari Raya Aidilfitri di kalangan masyarakat Malaysia di New Zealand disambut dengan perasaan gembira bercampur sedih berikutan dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.1 pada skala richter Sabtu lepas.

Kira-kira 350 orang rakyat Malaysia yang beragama Islam berkumpul di Dewan Bunga Raya Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dianjurkan pihak suruhanjaya pada pukul 9 pagi.

Kesemua mereka yang terdiri dari pelajar siswazah, pasca siswazah dan keluarga turut dijamu dengan beraneka makanan tradisi seperti lemang, nasi impit, rendang, pulut kuning, nasi minyak dan biskut raya.

Namun suasana itu tidak dapat dikongsi bersama pelajar Malaysia yang berada di Christchurch, South Island yang masih berasa sedih, muram dan trauma akibat dari gempa bumi terbesar di negara ini sejak 80 tahun itu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand Datuk Hasnudin Hamzah berkata keadaan semua 403 orang pelajar itu selamat, namun masih ada yang trauma akibat gempa berkenaan.

"Kita menasihatkan mereka supaya terus mengikut arahan dari pihak berkuasa tempatan yang terdiri dari polis, pertahanan awam dan juga majlis bandaran.

"Namun jika ada di antara mereka yang mahu keluar dari Christchurch, mereka dinasihatkan supaya memaklumkan suruhanjaya terlebih dahulu," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata makluman itu akan memudahkan urusan penempatan mereka di Wellington.

Katanya, setakat ini terdapat dua keluarga yang diberi penempatan sementara di kuarters suruhanjaya dan satu lagi keluarga akan tiba esok menjadikan jumlah keseluruhannya 11 orang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain