suria

Bandar Muar Sesak, Orang Ramai Serbu Jualan Lelong Kuih Raya

MUAR: Bandar Muar mengalami kesesakan teruk awal pagi ini selepas ratusan pengunjung menyerbu pusat jualan kuih-muih yang mengadakan lelongan menjelang 1 Syawal, Jumaat.

Mereka yang kebanyakan baru tiba dari Kuala Lumpur untuk berhari raya bersama keluarga di kampung di sekitar bandar ini mengambil kesempatan membeli kuih raya yang dijual dengan harga 'durian runtuh' bermula pukul 1 pagi hingga 3 pagi.

Harga kuih yang lazim dijual antara RM16 dan RM20 sekotak dijual dengan harga RM50 bagi tujuh jenis kuih pilihan pelanggan, menyebabkan ramai tidak melepaskan peluang membeli-belah saat akhir.

Selain itu pengunjung turut membanjiri gerai-gerai yang didirikan di sepanjang Jalan Sisi di sini untuk mendapatkan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Muar Fuad Redzuan memberitahu Bernama pihaknya sengaja menjadikan jalan tersebut sebagai pusat jualan pelbagai barangan keperluan perayaan pada tahun ini bagi menambah pendapatan peniaga.

"Sekurang-kurangnya kehadiran gerai tersebut telah membantu memeriahkan suasana bandar ini yang sebelum ini dianggap bandar pencen," katanya menambah program itu akan diteruskan pada tahun depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain