suria

PPP Minta Indonesia Pantau Kemasukan Gadis Malaysia Ke Lombok

KUALA KRAI: Parti Progresif Penduduk (PPP) meminta pihak berkuasa Indonesia membantu memantau kemasukan gadis Malaysia ke Lombok yang dipercayai dibawa teman lelaki mereka yang berasal dari kawasan itu.

Naib Presidennya Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata kebanyakan gadis terbabit dibawa ke Lombok bukan saja tanpa dokumen perjalanan yang sah tetapi juga tanpa pengetahuan keluarga.

"Saya minta menjelang musim perayaan ini mereka diberi peluang untuk pulang ke tanah air dengan bantuan kerajaan Indonesia, kerana ibu bapa mereka amat merindui mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, di sini Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menerima aduan beberapa keluarga yang anak gadis mereka dilarikan jejaka Lombok sejak beberapa tahun lepas dan tidak pulang sehingga sekarang.

Nik Sapeia berkata kebanyakan gadis terbabit adalah remaja yang seolah-olah 'dipukau' sehingga sanggup meninggalkan keluarga untuk mengikuti teman lelaki mereka kembali ke Lombok.

"Setelah tinggal beberapa ketika di sana, mereka menderita akibat kemiskinan dan antara mereka telah mempunyai anak yang ramai," katanya.

Beliau berkata PPP juga berharap kerajaan republik itu dapat mengenal pasti gadis-gadis terbabit dan memaklumkan kepada kerajaan Malaysia bagi membolehkan usaha membawa pulang mereka dilaksana. - BERNAMA

Artikel Lain