suria

Pekerja Kilang Gagal Ketepi Hukuman Penjara

SHAH ALAM: Usaha seorang pekerja kilang untuk mengenepikan hukuman penjara selama tiga tahun kerana melanggar perintah pengawasan dadah gagal selepas Mahkamah Tinggi di sini Khamis, menolak rayuan yang dikemukakannya.

Ahmad Tajudin Satar, 38, bagaimanapun terselamat daripada hukuman sebatan memandangkan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid mengenepikan hukuman tersebut.

Hukuman penjara juga bermula Khamis, yang bermaksud Ahmad Tajudin akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di sebalik tirai besi.

Siti Khadijah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan oleh Ahmad Tajudin selaku perayu dan balasannya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mustaffa P Kunyalam yang mewakili pihak pendakwaan selaku responden.

Dalam hujahnya, Ahmad Tajudin merayu supaya mahkamah meringankan hukuman dengan mempertimbangkan kesukaran hidup yang dialaminya.

"Saya mempunyai tiga orang anak dan dua daripadanya sedang bersekolah manakala isteri saya pula tidak berkerja.

"Saya juga mempunyai ibu dan bapa yang sudah tua dan sering mengalami masalah kesihatan," ujarnya.

Mohd Mustaffa membalas dengan mengatakan, Mahkamah Tinggi tidak boleh mencampuri keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah sekiranya tiada kekhilafan dilakukan dari segi fakta dan undang-undang ketika mensabitkan tertuduh atas sesuatu pertuduhan yang dihadapi.

Beliau menambah, rayuan yang dikemukakan oleh Ahmad Tajudin tidak mematuhi prosedur ekoran tidak dilengkapi dengan nota keterangan.

"Justifikasi dan alasan penghakiman terhadap hukuman yang dikenakan juga tidak dinyatakan," tambahnya.

Ahmad Tajudin memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Klang, dekat sini pada 23 Jun lalu.

Hukuman itu adalah bagi kesalahan melanggar perintah pengawasan selama dua tahun di Agensi Anti Dadah Kebangsaan Klang yang bermula pada 5 November 2008.

Ahmad Tajudin ditahan pada 20 Mac lalu di Pelabuhan Klang oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Artikel Lain