suria

Konsep Kejiranan Lemah Punca Jenayah Pecah Rumah Di Musim Perayaan

KUALA LUMPUR: Konsep kejiranan yang lemah merupakan antara punca kejadian jenayah pecah rumah terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Kebiasaannya pada hari itu, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan rumah untuk satu jangka masa yang agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Oleh itu kecenderungan untuk berlaku jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar, demikian menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah.

Katanya walaupun kegiatan pecah rumah terutama pada musim perayaan masih ada tetapi kegiatan mencuri kenderaan jarang berlaku kerana kepekaan oleh jiran-jiran tetangga.

"Seorang penyamun memerlukan dua atau tiga minit untuk memecahkan pintu kereta dan tempoh waktu itu jiran-jiran terdekat dan peka sempat untuk menahan penyamun tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata walaupun terdapat rondaan yang kerap semasa musim perayaan tetapi jika tiada keprihatinan jiran ia menyukarkan pihaknya untuk mendapatkan maklumat.

"Rondaan kerap dilakukan pada waktu siang dengan cara berjalan kaki, menaiki motosikal atau MPV dan jika berjalan kaki lebih memudahkan kerana pantauan yang teliti di dalam sesebuah rumah jelas dilihat," katanya.

Beliau berkata, selain keprihatinan jiran tetangga, wujudnya balai polis bergerak yang menjadi pusat operasi di kawasan-kawasan panas akan mengelakkan berlakunya sebarang jenayah.

"Pada musim perayaan, balai tersebut diletakkan secara kekal dan pihaknya akan memantau kenderaan yang keluar dan masuk terutama pada waktu malam dan sesiapa yang dilihat mencurigakan akan ditahan dan diperiksa," katanya.

Beliau juga menasihatkan semua warga Kuala Lumpur yang ingin pulang ke kampung supaya jangan meninggalkan barang yang berharga di dalam kereta bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain