suria

Trafik Berjalan Lancar Walaupun Jumlah Kenderaan Meningkat

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa laluan utama di seluruh negara berjalan lancar, ketika beribu-ribu warga kota sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pemantauan oleh Lembaga Lembaga Malaysia (LLM) dan Plus Expressway Sdn Bhd menunjukkan tidak berlaku sebarang kesesakan ketara walaupun jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya dan jalan utama bertambah berbanding hari-hari biasa.

Jurucakap trafik LLM berkata setakat tengah hari ini, keadaan trafik bermula dari Tol Jalan Duta berjalan dengan lancar dan djangkakan keadaan trafik agak mulai sibuk dan sesak menjelang petang Rabu.

"Aliran menuju ke arah Tol Sungai Perak masih lagi terkawal dan jumlah kenderaan juga dijangka meningkat sehingga petang nanti. Setakat ini perjalanan masih dalam keadaan terkawal dan tiada aduan kemalangan berlaku sehingga kini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu menurut laman web LLM, aliran trafik ke selatan masih bergerak lancar namun jumlah kenderaan kelihatan semakin bertambah terutama di antara Nilai ke Seremban iaitu di antara KM285 ke KM 263.

Menurut LLM, secara keseluruhanya trafik ke utara masih bergerak lancar namun di antara Jelapang ke Kuala Kangsar, trafik kelihatan mulai perlahan daripada Km262 ke Km255.

Bagi perjalanan ke pantai timur pula, trafik di Lebuhraya Karak kelihatan hanya bergerak perlahan di sekitar Plaza tol Gombak dan di Persimpangan Bentong Barat di Km 76.

Plus Ekspressways Bhd sebelum ini berkata jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pada hari ini dan esok dijangka meningkat kepada 1.4 juta berbanding 1.1 juta pada hari biasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain