suria

Peraturan Baru Jualan Murah Berhasil - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan baru yang mewajibkan peniaga memberi notis dan senarai produk lebih awal sebelum mengadakan jualan murah menunjukkan hasil positif apabila tidak ada aduan diterima setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada promosi jualan murah sebelum ini sebanyak 173 aduan diterima pihaknya.

"Mengikut peraturan baru di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 ini, peniaga harus meletakkan dua jenis harga di papan notis, iaitu harga sebelum diskaun dan selepas diskaun.

"Sebelum peraturan baru dikuatkuasa, banyak aduan diterima tentang peniaga yang menaikkan harga asal barang berikut dua kali ganda, sebelum memberi diskaun separuh harga. Ini menyebabkan mereka tidak memberi diskaun walau sesen pun," katanya kepada pemberita selepas meninjau sebuah pusat membeli-belah, di sini Rabu.

Di bawah peraturan itu yang diperkenalkan bulan lepas, semua pekedai dan pemilik pasar raya yang ingin mengadakan 'Jualan Murah Hari Raya Aidilfitri' diwajib menyenaraikan sekurang-kurangnya 70 peratus barangan atau produk berkenaan kepada kementerian.

Mereka juga dikehendaki meletakkan harga lama dan baru barangan dan produk itu bagi mengelakkan kekeliruan pada kalangan pengguna.

Ismail Sabri berkata individu yang didapati bersalah mengikut peraturan baru itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara dan RM250,000 bagi syarikat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain