suria

Pakistan Usahakan Kepakaran Luar Bantu Pulih Dari Kemusnahan Akibat Banjir

KARACHI: Pakistan sedang berusaha mendapatkan bantuan dari luar negara, termasuk dari Malaysia, bagi membantu usahanya membina semula rumah-rumah dan bangunan yang musnah akibat bencana banjir baru-baru ini.

Gabenor Wilayah Sindh Dr Ishrat Il Ebad berkata mereka mengalu-alukan bantuan luar yang dapat menyumbang kearah pemulihan, terutama di wilayah berkenaan.

Beliau berkata pihak berkuasa di wilayah itu sedang mengkaji rancangan-rancangan pemulihan yang ditampilkan.

"Pelaksanaan program menyeluruh yang membabitkan kerja-kerja membaiki dan membina semula rumah-rumah bagi mangsa banjir akan bermula selepas rancangan itu dimuktamadkan," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan delegasi Kelab Putera 1Malaysia di sini Rabu.

Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Pakistan sejak 22 Julai lepas yang berlarutan sehingga lebih sebulan di beberapa tempat itu adalah yang terburuk pernah dialami negara berkenaan dalam tempoh 80 tahun, dan sehingga ini ia meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bencana banjir itu mengakibatkan satu perlima daripada kawasan kegara itu ditenggelami air di samping menjejaskan kehidupan lebih 17 juta penduduk Pakistan.

Dr Ishrat seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghantar Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa banjir.

Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Pakistan yang diketuai oleh presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memasuki hari keenam hari ini, dan ia disertai 68 sukarelawan termasuk 40 doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media massa, dan misi yang bermula 3 Sept lepas itu dijadual berakhir pada 12 Sept ini.

Delegasi itu turut menemui Menteri Kesihatan Sindh, Dr Sashees Ahmed yang juga Pemegang Amanah bagi pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Khidmat-e-Khalq (KKF).

Dr Sashees, turut mengucvapkan terima kasih kepada Malaysia yang tidak ketinggalan menghulur bantuan kepada mangsa banjir dan berkata KKF akan membantu Putera 1Malaysia Club menjayakan misi kemanusiaan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain