suria

Lelaki Ketiga Lolos Dari Lokap Ditahan Semula

KUCHING: Selepas hampir 39 jam 'merdeka', seorang lelaki yang meloloskan diri bersama dua yang lain daripada tahanan di sebuah lokap di balai polis di sini, berjaya ditahan semula di Kampung Engkabang, Batu 13, Jalan Serian-Sri Aman, dekat sini petang Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed mengesahkan penangkapan semula lelaki tempatan berusia 29 tahun tersebut yang sebelum itu ditahan di bawah Ordinan Darurat.

"Suspek berada dalam rumah ketika sepasukan polis menyerbu rumah tersebut pada pukul 4.20 petang," katanya ketika dihubungi.

Semalam, lelaki tersebut bersama dua lagi iaitu seorang pendatang tanpa izin warga Thailand, 38 dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun melarikan diri dari lokap polis dengan mengumpil jeriji besi sebelum meloloskan diri menerusi bumbung bangunan.

Kehilangan mereka disedari apabila anggota polis membuat pemeriksaan pada pukul 1.45 pagi Selasa.

Lelaki warga Thailand yang ditahan di bawah Akta Imigresen dan remaja tersebut yang ditangkap kerana disyaki terbabit dalam kes mencuri motosikal, bagaimanapun berjaya ditangkap semula di sebuah perkampungan nelayan di sini pada pukul 7 malam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain