suria

Kelab Putera 1Malaysia Tumpu Kawasan Daif Hulur Bantuan Banjir Di Pakistan

KARACHI: Kawasan yang daif dan tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pertubuhan kini menjadi tumpuan utama Kelab Putera 1Malaysia dalam misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Pakistan yang memasuki fasa kedua pada Rabu.

Presiden kelab Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata selepas fasa satu di Peshawar, pihaknya kini ke Karachi dan telah mengenal pasti beberapa kawasan di sini antaranya Dadu, Thatta dan Sindh untuk menyalurkan bantuan.

"Banyak lagi kawasan di sini yang terlepas pandang berikutan kebanyakan NGO hanya pergi ke tempat-tempat tumpuan yang dibawa oleh pemimpinnya. Kita akan melaksanakan kerja kita dan akan pergi ke kawasan yang tidak sampai bantuan.

"Ada tempat-tempat yang daif seperti Dadu dan Thatta yang tempat ini memang pedalaman dan memang tidak ada bantuan sama sekali. Walaupun banyak bantuan yang disalurkan tetapi masih lagi ada tanda tanya kerana bantuan tidak sampai ke kumpulan sasaran yakni kepada rakyat yang menderita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan seperti tepung atta (tepung untuk membuat capati) dan bahulu kepada mangsa-mangsa banjir di College Government of Technology di Karachi di sini.

College Government of Technology menempatkan kira-kira 4,000 orang mangsa banjir.

Terdahulu, sumbangan yang serupa turut diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di penempatan sementara di Ten Village Hawksvay yang menempatkan 7,000 orang.

Mengenai alat penapis air UFILTA, beliau berkata pihaknya setakat hari ini telah mengedarkan sebanyak 600 unit manakala kuih bahulu yang telah diedarkan adalah sebanyak 200,000 bekas termasuk di Peshawar.

Abdul Azeez berkata bagi memastikan bantuan yang dibawa sampai kepada kumpulan sasaran, pihaknya sendiri turun padang berjumpa mangsa banjir.

"Kita berjumpa bukan setakat beri bantuan sahaja, tetapi kita juga bertanyakan khabar, malah kita mendengar rintihan-rintihan mereka dan pemimpin-pemimpin NGO," katanya.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Karachi Mohd Khalid Abdul Razak. Misi itu yang bermula 3 Sept lepas dijadual berakhir pada 12 Sept ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain