suria

KDN Nafi Campur Tangan Urusan PDRM

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mengenai wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata adakalanya syor dan perakuan PDRM (permintaan dan cadangan) tidak Dipertimbangkan sepenuhnya dan ini seolah-olah boleh dipandang sebagai campur tangan di dalam urusan harian PDRM.

"Maka di dalam hal ini, urusan pengurusan perkhidmatan utama adalah tanggungjawab PDRM dan isu campurtangan di dalam perjalanan urusan PDRM oleh kementerian tidak wujud sama sekali," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika membaca kenyataan tiga muka surat kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas dari Musa kepada timbalannya, Tan Sri Ismail Omar yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berikutan persaraan Musa, Isnin ini.

Sebelum ini, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan PDRM menjalankan tugas dan antara pihak ketiga itu adalah orang dari kementerian, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.

Mahmood berkata, di peringkat kementerian, mesyuarat Pengurusan Logistik PDRM telah diadakan pada setiap hari Rabu bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan sumber manusia, pengurusan dan pembekalan PDRM.

Menurutnya ini bagi memastikan segala keperluan PDRM diberikan perhatian sewajarnya sejajar dengan penambahbaikan perkhidmatan PDRM.

"Sekiranya sesuatu permintaan itu tidak dapat dipenuhi, ianya kelihatan seperti KDN campur tangan dalam pengurusan PDRM.

"Walaubagaimanapun setiap permintaan dan perancangan PDRM seperti mana-mana jabatan kerajaan yang lain adalah tertakluk kepada dasar kerajaan, prosedur kewangan serta lain-lain peraturan yang berkaitan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata walaupun isu tamat kontrak Musa tidak dimaklumkan secara bertulis, namun ia telah dimaklumkan secara lisan seminggu sebelum tarikh pengumuman KPN yang baru dan turut dimaklumkan sekali lagi secara lisan pada hari yang sama.

"Urusan pelantikan dan penamatan perkhidmatan Pegawai Kanan Polis perlu melalui Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.

"Seterusnya dipertimbangkan untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong melalui syor Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Musa enggan mengulas apabila ditanya mengenai penafian KDN itu.

Ketika diminta mengulas cadangan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua supaya memfailkan laporan rasmi mengenai campur tangan pihak ketiga itu, Musa berkata beliau akan mempertimbangkan cadangan itu apabila menjadi orang awam secara rasminya pada 13 September ini.

Dalam sebuah laman web media, Tian Chua dilaporkan berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi Musa mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang dilihat cuba membidas pihak tertentu dan melepaskan dirinya daripada beberapa isu.

Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini selepas 41 tahun bersama pasukan PDRM itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain