suria

Curiga Punca Kematian, Kubur Wanita Thai Digali Semula

KANGAR: Curiga dengan punca sebenar kematiannya, kubur seorang wanita warga Thailand di tanah perkuburan Cina Sanglang dekat sini, digali semula selepas polis menerima laporan daripada adiknya. Ketua Polis Daerah Kangar Supritendan Abdul Rahman Noordin berkata kubur Pranee Thongna, 35, yang meninggal dunia pada 31 Ogos lepas digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan ke atas mayat wanita tersebut.

Mendiang yang koma selepas mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh di rumah setelah dikatakan diserang sawan pada 28 Ogos lepas, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah, namun tidak ada bedah siasat dilakukan, katanya kepada pemberita, di sini.

"Selepas tiga hari kematian si mati, adiknya tampil membuat laporan mendakwa tidak berpuas hati di atas sebab-sebab kematian kakaknya itu dan meminta agar bedah siasat dilakukan," katanya.

Mayat wanita itu yang dikebumikan pada 4 September lepas dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.

Hasil perkahwinan mendiang dengan seorang warga tempatan, Ch'ng Tien Po, 39, mereka dikurniakan seorang anak lelaki berusia 18 tahun dan seorang anak perempuan berusia 14 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain