suria

Bersabar Dan Bertolak Ansur Semasa Balik Kampung

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih bersabar dan bertolak ansur apabila pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri. Beliau berkata trafik bagi semua lebuh raya dan jalan utama di bandar dijangka sesak bermula petang ini hingga malam esok apabila kebanyakan orang memulakan perjalanan balik kampung.

Katanya lebih lima juta pengguna dijangka berada di jalan raya dalam tempoh itu dan ini akan menyebabkan kesesakan trafik di sesetengah kawasan.

"Pengguna jalan raya terutama para pemandu perlu banyak bersabar dan bertolak ansur, mungkin mengambil masa perjalanan yang agak panjang untuk sampai ke destinasi tetapi semua orang mesti ingat bahawa "lebih baik lambat daripada langsung tidak sampai", ada keluarga dan mereka yang tersayang sedang menanti ketibaan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata para pemandu perlu berpegang kepada 3 perkara -- Kelajuan (ketahui had kelajuan), tumpuan (had kecergasan) dan sabar (sentiasa mengawal kesabaran).

Kong berkata sekatan jalan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dijalankan selagi ia tidak menyebabkan kesesakan jalan yang teruk dan pegawai JPJ berpakaian preman juga akan ditempatkan bagi memantau trafik terutama di 202 laluan berbahaya.

"Pihak berkuasa telah mengenal pasti 133 laluan di seluruh negara semasa Ops Sikap 22 diadakan sempena cuti Hari Raya. Johor dan Perak mempunyai bilangan jalan raya tertinggi yang dikena pasti sebagai bahaya dengan masing-masing 13 dan 10," katanya. Beliau berkata pelan jangka panjang Malaysia dalam soal keselamatan jalan raya ialah bagi mencapai Visi Maut Sifar.

"Ia merupakan falsafah dan dasar keselamatan yang meliputi semua aspek keselamatan termasuk pemandu, kenderaan, infrastruktur jalan dan keselamatan persekitaran dengan tujuan bahawa tiada sesiapa patut mati atau cedera teruk dalam persekitaran jalan akibat kemalangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain