suria

Umat Islam Di Malaysia Perlu Bersyukur:Muhyiddin

MUAR: Umat Islam di negara ini perlu bersyukur kerana menikmati keamanan dan bebas dari sebarang malapetaka atau peperangan berbanding negara-negara lain, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa.

Katanya negara Islam seperti Pakistan kini berdepan dengan banjir besar yang mengorbankan ribuan rakyatnya manakala letusan gunung berapi di Indonesia mengakibatkan ribuan penduduknya terpaksa dipindahkan.

"Di sini kita hidup di dalam keadaan yang tenteram dan aman," katanya pada majlis penyerahan zakat oleh UDA Holdings di Surau Saadiah, Jalan Bakri, di sini, Selasa.

Surau Saadiah merupakan surau yang dibangunkan oleh bapa Muhyiddin, Allahyarham Muhammad Yassin Mohamad, seorang ulama terkenal tempatan.

Terdahulu itu, Muhyiddin menerima sumbang zakat sebanyak RM20,000 daripada Pengerusi UDA Holdings Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk diagih-agihkan kepada golongan yang memerlukannya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Muhyiddin Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Pengarah Urusan UDA Holdings Datuk Jaafar Abu Hassan dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Surau Saadiah Ghafur Yassin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain