suria

Tertuduh Marah Aaliyah Kencing Merata – Emak Mangsa

Mohannad Taha dibicarakan atas tuduhan membunuh Aaliyah.
Mohannad Taha dibicarakan atas tuduhan membunuh Aaliyah.
Mohannad Taha dibicarakan atas tuduhan membunuh Aaliyah.

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dibunuh, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah dimarahi oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan hanya kerana kelakuannya membuang air kecil merata-rata.

Ibu kepada Aaliyah, Ellina Maulad Mahather, 25, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada tertuduh, Mohannad Taha Ismail pada pukul 11.30 pagi, 12 Oktober lalu yang menjaga anaknya semasa dia keluar bekerja.

“Tertuduh kata nak beri dia pengajaran. Saya beritahu tertuduh supaya biarkan kerana saya akan cuci (air kencing) selepas saya pulang,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin.

Mengimbas kejadian yang berlaku pada hari tersebut, Ellina yang merupakan bekas setiausaha di sebuah syarikat pembinaan memberitahu, dia sekali lagi menerima panggilan telefon daripada tertuduh pada jam 2.30 petang.

Semasa itu tertuduh yang cemas memaklumkan keadaan Aaliyah yang tidak dapat melihat telah melanggar pintu gelongsor.

Tertuduh yang tidak bekerja juga memberitahu mahu mengambil lampu suluh bagi memeriksa mata Aaliyah.

Menurutnya, semasa dia keluar untuk ke tempat kerja pada jam 5.30 pagi, mangsa sedang menghisap botol susu dalam keadaan baik melainkan beberapa kesan kecederaan yang lama.

“Pada pukul 4.30 petang, tertuduh sekali menghubungi saya dalam keadaan gelisah memberitahu anak saya koma. Tertuduh juga memberitahu akan menjemput saya dengan menaiki teksi. Saya beritahu majikan saya mahu mengambil cuti kecemasan,” tambah Ellina.

Katanya lagi, dia dan tertuduh telah singgah di pasaraya dengan tujuan mahu membeli lampin pakai buang dan ubat untuk mangsa, tetapi mereka akhirnya tidak membeli ubat.

Aaliyah yang sepatutnya menyambut ulang tahun ke-empat pada 27 September ini semasa itu ditinggalkan keseorangan di rumah.

“Kami sampai di rumah pada pukul 7.30 petang. Saya nampak Aaliyah terbaring di atas tilam dalam keadaan serius, sukar bernafas dan muka lebam, bengkak serta berdarah.

“Saya cemas. Saya dan tertuduh menangis selama lebih kurang 15 minit. Saya tengok anak saya dah tak bernafas. Tertuduh memberi bantuan pernafasan kecemasan,” tambah Ellina, yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan kedua dalam perbicaraan yang baru bermula Isnin.

Dia menambah, terdapat darah yang keluar daripada telinga Aaliyah. Tertuduh bagaimanapun menghalang dia daripada membawa mangsa ke hospital kerana bimbang akan ditangkap dan dituduh mengakibatkan kecederaan tersebut.

“Tertuduh takut dan kata our life will be over (hidup kita akan berakhir). Tertuduh kata dia tak bersalah tetapi takut,” tambah saksi.

Ceritanya lagi, setelah berbincang, dia mencadangkan kepada tertuduh supaya memberi alasan bahawa mangsa dipukul oleh orang gaji, sedangkan hanya mereka bertiga yang tinggal di rumah tempat kejadian.

Cadangan itu dipersetujui dan tertuduh kemudiannya merangkul mangsa dan berlari ke lif sebelum seorang lelaki menghantar mereka ke Hospital Kajang, dekat sini.

Ellina yang tenang sepanjang prosiding juga memberitahu, hubungan mangsa dengan tertuduh yang dipanggil ‘babah’ baik pada awalnya, iaitu semasa dia, ibu bapanya dan dua rakan ayahnya berpindah masuk ke rumah sewa tertuduh yang terletak di Bukit Jalil, dekat sini.

Hubungan itu berubah selepas dia, tertuduh dan mangsa berpindah ke rumah lain ekoran wujud salah faham yang timbul berkaitan kewangan antara tertuduh dan ayah Ellina yang semasa itu tidak bekerja.

“Tertuduh mula marah dan menampar anak saya atas kesalahan kecil. Mula-mula menggunakan tangan tetapi kemudian guna penyangkut baju dan pembaris. Kebanyakkannya masa saya bekerja. Anak saya akan mengadu apabila saya pulang,” katanya.

Tambah Ellina, dia juga ada melihat sendiri perbuatan tertuduh selain terdapat kesan lebam pada badan Aaliyah.

Mengenai hubungannya dengan tertuduh, Ellina memberitahu dia dan tertuduh berkenalan sekitar 2008, iaitu selepas dia bercerai dengan suaminya dan mengakui mereka tinggal bersama.

Tambahnya, Aaliyah merupakan anakmya bersama bekas suami Ayman Hussin. Mereka berkahwin pada tahun 2005 dan bercerai tiga tahun kemudian. Mohannad Taha yang masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelajar dibicarakan atas tuduhan membunuh Aaliyah pada antara pukul 7.30 dan 8.30 malam, 12 Oktober lalu di kediaman bernombor 9/D3/9 Palazzo Tower, Venice Hill Condominium, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, dekat sini.

Dia yang diwakili peguam J. Kuldeep Kumar kini berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah bersambung Selasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain