suria

Syabas Tutup Sementara Loji Semenyih Berikutan Pencemaran

KUALA LUMPUR: Operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ditutup hari ini berikutan sumber air mentah dari Sungai Kembong, Selangor tercemar dengan sisa buangan dari pusat pelupusan sampah.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Datuk Ruslan Hassan berkata penutupan operasi bermula 1.40 pagi tadi dibuat berikutan pihak pengurusan loji berkenaan, Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) mengesan kandungan ammonia tinggi melebihi paras yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Penutupan sementara loji ini dijangka mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 300,000 keluarga atau 1.2 juta penduduk di wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat," katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Menurutnya pencemaran itu berlaku selepas benteng pusat pelupusan sampah yang diuruskan syarikat Worldwide Holdings pecah menyebabkan sisa buangan atau 'leachate' mengalir masuk ke dalam Sungai Kembong dan ke muka sauk loji.

Ruslan berkata bagi memastikan keadaan terkawal, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan kod kuning serta mengalihkan bekalan air dari loji-loji lain untuk dibekalkan ke kawasan yang dijangka terjejas.

Syabas juga menyediakan 32 lori tangki air serta 300 tangki statik bagi memastikan bekalan air tidak terganggu dengan teruk.

Bagaimanapun katanya keupayaan menghantar air melalui lori tangki terhad, berikutan loji itu menampung 600 juta liter air sehari dan kawasan serta jumlah pengguna yang terlibat adalah besar.

"Buat masa sekarang, kita masih belum pasti bila loji ini dapat beroperasi semula kerana perlu menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai dan pembaikan benteng pecah.

"Sekiranya proses pemulihan ini tidak dapat disiapkan menjelang petang dan tahap air di kolam-kolam terus menurun ke tahap kritikal, Syabas terpaksa meningkatkan tahap ERP kepada tahap merah," katanya.

Berikutan pengaktifan ERP kod kuning, Syabas membuka pusat operasi krisis 24 jam di ke empat-empat wilayah itu bagi kerja-kerja pemantauan serta pusat informasi untuk membantu para penduduk mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian tersebut.

Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat pengguna boleh hubungi talian bebas tol Puspel 1-800-88-5252, atau SMS ke 39222 dengan menaip PUSPEL<jarak>aduan/pertanyaan, melayari laman twitter rasmi Puspel di http://twitter.com/puspel atau membuat carian 'puspel syabas' di Facebook. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain