suria

SUAP Buat Laporan Polis Terhadap Iklan Hari Raya TV3

KUANTAN: Suara Anak Pahang (SUAP) hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyiaran iklan hari raya oleh sebuah stesen televisyen swasta yang didakwa menghina umat Islam di negara ini.

Laporan polis itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak SUAP, Mohd Shukri Mohd Ramli kira-kira 3 petang tadi di Ibupejabat Polis Daerah Kuantan di sini.

Mohd Shukri berkata pihaknya mahu satu siasatan dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam penerbitan iklan itu.

"Biarpun kemaafan telah dibuat oleh pihak TV3, namun begitu kes yang cukup biadap ini perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa demi kesucian Islam di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya iklan yang disiarkan mulai 2 September lepas sebelum ditarik balik tiga hari kemudian tidak wajar diterbitkan untuk siaran tanpa sebarang penapisan oleh pihak berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang memfailkan saman terhadap Pengarah Kreatif TV3, Pengarah Urusan TV3, Media Prima dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhubung kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain