suria

Selangor Pindah Operasi Peniaga Besi Terpakai Ke Kawasan Mudah Dipantau

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyusun semula dan memindahkan operasi peniaga besi buruk ke kawasan yang mudah dipantau oleh pihak berkuasa bagi membendung kemungkinan peniaga membeli besi buruk yang dicuri.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu perlu dilakukan memandangkan terdapat laporan yang mendakwa segelintir peniaga membeli besi buruk yang dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian kepada pihak industri terbabit.

"Kita akan meminta supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kawasan yang sesuai untuk menempatkan peniaga terbabit dari kawasan asal ke kawasan yang lebih sesuai dan lesen akan dikeluarkan kepada mereka untuk memudahkan kawalan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri akan mengatur satu pertemuan dengan peniaga besi terpakai di negeri itu bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.

Langkah itu diambil selepas Abdul Khalid mengadakan dialog dengan pelabur utama di Selangor yang diadakan di Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) di I-City di sini, Selasa.

Beliau berkata ketika sesi dialog berkenaan, wakil syarikat pelabur tempatan dan antarabangsa antara lain membangkitkan isu keselamatan yang melibatkan kejadian curi besi yang kerap berlaku serta mendatangkan kerugian kepada pihak syarikat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain