suria

Penuntut Malaysia Di New Zealand Masih Trauma Akibat Gempa Bumi

KUALA LUMPUR: Beberapa penuntut Malaysia di dua universiti di South Island, New Zealand, ketika dihubungi memberitahu kebanyakan mereka masih dalam keadaan trauma selepas mengharungi pengalaman menakutkan semasa kawasan itu dilanda gempa bumi kuat, tiga hari lepas.

Gempa bumi 7.1 pada skala Richter kira-kira pukul 4.35 pagi waktu tempatan (12.35 tengah malam waktu Malaysia) Sabtu lepas itu mengakibatkan kerosakan serius kepada banyak bangunan dan infrastruktur termasuk jambatan dan jalan raya.

Pelajar ijazah falsafah kedoktoran (PhD) dalam bidang pendidikan di University Centerbury, Norshidrah Mat Daud, 39, berkata gegaran itu dirasai ketika beliau dan lima anaknya hendak bangun bersahur.

"Kami dapat rasakan gegaran dalam seminit ketika tidur di ruang tamu rumah kami di Bishop Dale dekat Christchurch, kira-kira 12 km dari pusat kejadian gempa.

"Waktu itu keadaan jadi kacau bilau, bunyi bising. Saya, suami dan anak berumur lima hingga 15 tahun tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mengurungkan diri dalam rumah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Norshidrah berkata suaminya yang bertugas sebagai guru di Malaysia dan mengambil cuti untuk mengikutinya menyambung pelajaran ke negara itu, hanya mampu melaungkan azan sementara anak kecilnya mula menangis apabila keadaan menjadi gelap akibat bekalan elektrik terputus beberapa minit kemudian.

Beliau bagaimanapun bersyukur apabila rumahnya tidak mengalami kerosakan teruk berbanding rakan-rakan lain yang rumah mereka retak teruk akibat cerobong asap yang jatuh ke dalam rumah.

"Hanya almari yang jatuh. Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya sambil menambah gegaran kecil turut dirasai malam tadi dengan 5.4 Skala Ritcher.

Beliau berkata pengajiannya tergendala apabila pihak universiti menutup universiti sehingga 13 Sept depan bagi kerja-kerja pembaikan.

Sementara itu Rojali Osman, 38, suami kepada Nastaein Kamaruzzaman, 33, seorang penuntut PhD Kejuruteraan Sivil di University Centerbury berkata gegaran itu dirasai ketika beliau, isteri dan anaknya berumur dari tiga bulan hingga tujuh tahun sedang tidur kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Sejurus merasai gegaran kira-kira 3 hingga 4 minit, saya bergegas membawa anak-anak masuk ke dalam kereta, memasang pemanas (heater) untuk anak kecil kami berusia tiga bulan itu.

"Keadaan jadi kelam-kabut. Kami tak tahu nak buat apa, nak pergi mana, kami lihat jiran-jiran lain semua duduk di tepi-tepi jalan sejurus gegaran," katanya yang tinggal di Riccarton, Christchurch," katanya.

Beliau seterusnya meminta kerajaan Malaysia menyediakan pelan tindakan keseluruhan bagi membolehkan rakyat Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya kejadian itu berulang lagi.

"Sediakan pelan ini, beritahu kami apa perkara pertama yang patut dilakukan jika terjadi lagi kes-kes begini. Ke mana nak pergi untuk dapatkan perlindungan. Ini penting," katanya.

Beliau bekerja di New Zealand sejak 2003, dan isterinya dijangka menamatkan pengajian Disember ini.

Sehari selepas kejadian Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata semua 11 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Lincoln University di Christchurch, New Zealand dilaporkan selamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain