suria

Menantu Gagal Selamatkan Bapa Mentua Dalam Kebakaran

BALING: Seorang warga emas yang lumpuh sebelah badan maut dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Tembak A, Kuala Ketil dekat sini pada Selasa.

Mayat Wahab Mat Isa, 83, yang separuh rentung ditemui dekat pintu bilik air rumahnya dalam kebakaran pada 8.30 pagi tadi.

Menantu beliau, Basariah Karim, 40, berkata beliau tidak berani masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan bapa mentuanya itu kerana api terlalu besar walaupun ketika itu dia berdiri di depan pintu rumah yang sedang terbakar.

"Saya melihat papan lantai dan bumbung jatuh di kawasan katil bapa dan cuba untuk masuk tetapi tak dapat kerana api terlalu kuat," katanya.

Basariah berkata bapa mentuanya tinggal seorang diri di rumah itu sejak beberpa tahun lepas.

Seorang jiran, Radzi Ismail, 30, berkata beliau juga kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan warga emas itu kerana api yang marak membakar rumah itu yang diperbuat dari kayu.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abdul Kudus Malik berkata seramai lapan orang anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggil tetapi gagal memasuki tempat kejadian kerana jalan masuk terlalu sempit.

"Kami terpaksa menarik paip dari kenderaan bomba ke tempat kebakaran sejauh 100 meter. Punca kebakaran masih disiasat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain