suria

15 'Ulat Tiket' Ditahan Di Terminal Bas Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Lima belas 'ulat tiket' ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di terminal bas sementara Bukit Jalil dekat sini pada Isnin.

Penolong Pegawai Penguatkuasa, Ketua Unit Kenderaan Perkhidmatan Awam JPJ Wlayah Persekutuan KL, Syed Abdullah Syed Husien berkata penangkapan baru itu menjadikan 80 'ulat tiket' ditahan di sekitar kawasan tersebut sejak 12 April lepas.

"Mereka (ulat tiket) mendapat komisen daripada agen tertentu dan mengaut keuntungan sebanyak RM800 hingga RM1,500 sebulan," katanya kepada pemberita selepas tinjauan di terminal tersebut bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Tinjauan itu dilakukan ekoran aduan orang ramai mengenai kegiatan 'ulat tiket' serta kelewatan atau ketiadaan bas di terminal tersebut.

Syed Abdullah berkata kesalahan bagi kegiatan 'ulat tiket' itu adalah mengikut Seksyen 110A Akta Pengangkutan Jalan dan boleh didenda sehingga maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun.

Syed Abdullah berkata pihaknya akan menempatkan lebih ramai 'detektif' di situ untuk memantau kegiatan tersebut di samping meminta ejen-ejen syarikat bas supaya tidak bersekongkol dengan 'ulat tiket'.

Sementara itu, Murugiah berharap masalah ketidakcukupan bas, kerosakan bas dan kelewatan tidak berlaku tahun ini dengan adanya pengawasan ketat oleh pegawai penguatkuasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain