suria

Pusat Penyembelihan Ayam Bersepadu Diwujudkan

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penyembelihan ayam bersepadu akan didirikan dalam masa terdekat bagi memudahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau proses penyembelihan seterusnya menjamin status halal ayam.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata projek itu, yang akan diswastakan, tertangguh sebelum ini berikutan masalah peruntukan.

"Penswastaan projek itu adalah langkah terbaik kerana ia memberi lebih ruang kepada pakar-pakar bidang itu untuk menguruskan sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar di sini, Ahad.

Beliau berkata sebuah tapak di Selayang sudah dikenal pasti untuk mewujudkan pusat itu tetapi proses mengambil alih tempat itu akan mengambil masa.

Mengenai isu penjualan daging halal dan babi di bawah satu bumbung di Pasar Chow Kit di sini, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan diminta mengambil tindakan segera untuk mengasingkan tempat jualan itu.

Terdahulu, kira-kira 300 orang termasuk remaja dari sekitar Bangsar khatam al-Quran pada majlis itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain