suria

PM Umum Lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik Pacu MEB

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha memperkasa sumber-sumber pertumbuhan ekonomi baru, mencipta ekonomi domestik yang berdaya saing dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan ekonomi adalah antara lapan perkara yang terangkum dalam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang akan memacu Model Ekonomi Baru (MEB).

Perdana Menteri berkata, perkara lain yang terangkum dalam SRI ialah mengupaya kembali sektor swasta, membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurang kebergantungan tenaga kerja asing, memperkasa sektor awam, tindakan affirmatif yang telus dan mesra pasaran serta membina asas pengetahuan dan infrastruktur.

"Lapan SRI itu sedang dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) dan RMK11. Saya berharap kita semua mengerti, memahami dan mengambil tindakan atas ke-lapan-lapan SRI itu."

"Misalnya, dalam memperkasa sumber-sumber pertumbuhan ekonomi, ia bukan sahaja melalui peruntukan kerajaan, pelaburan domestik, pelaburan langsung asing (FDI), tetapi bagaimana menjana kekayaan melalui inovasi dan tindakan yang lebih kreatif," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Najib berkata SRI ini perlu dipastikan kejayaannya kerana ini merupakan satu cara dan kaedah membolehkan pencapaian matlamat yang diharapkan iaitu menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Mengenai membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurang kebergantungan tenaga kerja asing, beliau berkata adalah penting untuk negara meningkatkan lagi penjanaan insan yang berkebolehan, berkemahiran seperti mana yang dituntut oleh pasaran semasa.

Selain menjadi pelengkap kepada MBE, Perdana Menteri berkata lapan SRI itu akan merentasi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Jika kita dapat meneruskan kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang mampan, ia akan menjadi pelengkap kepada apa yang dianggap sebagai agenda kerajaan ke arah matlamat dan impian semua," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain