suria

Peniaga Mati Terkena 11 Tembakan

BATU GAJAH: Seorang peniaga meninggal dunia selepas ditembak seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Taman Mewah di sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad berkata, Vijayan a/l Krishan, 30, yang mengalami cedera parah di bahagian pinggang dan leher meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi tadi, Vijayan dikatakan pergi ke rumah rakannya di Kampung Ara Payung di sini yang sebelum itu menganjurkan satu majlis perkahwinan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib berkata, Vijayan yang hanya berada kira kira 30 minit di rumah tersebut telah dihampir oleh seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol lalu melepaskan 12 das tembakan ke arah mangsa.

Sebelas daripada tembakan itu mengenai pada bahagian pinggang hingga ke leher manakala satu das tersasar ke jalan raya, katanya.

Suspek yang memakai topi keledar kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang ditunggang rakannya.

Mayat Vijayan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Berikutan kejadian itu polis kemudian bertindak mengesan suspek dan sejam selepas kejadian polis menahan tujuh lelaki berusia 20 hingga 37 tahun di sekitar Batu Gajah.

Kesemua lelaki berkenaan ditahan reman hari ini selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Sebuah motosikal turut dirampas bagi membantu siasatan manakala senjata yang digunakan tidak ditemui, katanya.

Najib meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di nombor telefon 05-3662222 untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain