suria

MARA Belanja RM6.6 Juta Bantu Golongan Miskin

GUA MUSANG: Giat Mara Kelantan membelanjakan peruntukan RM6.6 juta dari dana rangsangan ekonomi kerajaan untuk mengerakkan tiga program bagi membantu rakyat termiskin di negeri itu meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan masa depan.

Pengurus Negeri Giat Mara Kelantan, Ahmad Nadzri Yahya berkata dari jumlah itu sebanyak RM664,000 bagi menganjurkan 50 program melatih 1,500 peserta dari keluarga termiskin dalam pelbagai bidang.

"Selain itu, peruntukan terbabit juga dibelanjakan bagi membaiki 99 rumah penduduk miskin dengan kos setiap satu rumah tidak lebih dari RM8,000 dan kini semuanya siap dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau ditemui selepas mengunjungi rumah ibu tunggal, Siti Jariah Awang, 34, di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh Tiga, dekat sini yang menerima pelbagai barangan elektrik sumbangan Giat Mara yang disampaikan oleh Pengarah Mara Kelantan Mohd Yunus Razali.

Beliau berkata sejumlah RM308,000 peruntukan baru diterima dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi membaiki rumah miskin tahun ini.

Ahmad Nadzri berkata peruntukan yang baru diterima itu untuk membaiki 28 rumah keluarga termiskin dengan membabitkan kos tidak lebih RM11,000 sebuah.

Beliau berkata kontrak membaiki rumah bagi golongan itu dilakukan lepasan pelatih Giat Mara di negeri ini yang mampu membaiki dalam tempoh yang singkat dan berkualiti.

"Ini kelebihan bekas peserta Giat Mara apabila kita beri kontrak bawah harga RM20,000 kepada mereka untuk memperolehi pendapatan dan sekali gus mampu hidup berdikari selepas tamat pengajian," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain