suria

Jangan Amal Hidup Berpuak-puak, Titah Tengku Abdullah

KUALA LIPIS: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan umat Islam agar tidak mengamalkan kehidupan berpuak-puak dan berpecah-belah kerana ia boleh menggugat umat Islam itu sendiri.

Baginda bertitah hidup berpecah-belah tanpa sefahaman hanya akan merugikan umat Islam sedangkan masyarakat lain bersatu-padu dan maju.

"Umat Islam perlu berani menghadapi cabaran dan bersaing jika ingin menjadi sebuah umat yang kuat dan maju seperti mana semasa zaman Rasulullah dahulu," titah baginda ketika merasmikan Masjid Saidina Ali Kampung Bapong, Padang Tengku dekat sini malam Ahad.

Pada masa yang sama, baginda turut menggesa jawatankuasa masjid supaya mengatur lebih banyak aktiviti dalam usaha menarik lebih ramai kariah terutamanya golongan muda ke masjid.

Titah baginda, selain dijadikan tempat beribadat, masjid juga hendaklah dijadikan sebagai pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat.

"Masjid cantik, besar dan indah itu jika tidak diimarahkan dengan aktiviti keagamaan dan pusat menimba ilmu hanya akan membazir dan peranan ahli jawatankuasa masjid bukan sekadar menentukan sembahyang lima waktu dan solat Jumaat sahaja tetapi merancang aktiviti keagamaan lain," titah baginda. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain