suria

Isu Pembinaan Banglo Bukit Gasing Selesai

KUALA LUMPUR: Isu berkenaan pembangunan 70 buah banglo di Bukit Gasing Petaling Jaya yang mencetuskan kontroversi apabila ia mendapat bantahan daripada penduduk sekitar, kini selesai.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Aziah Ali memutuskan pemaju Gasing Meridian Sdn Bhd sekarang boleh meneruskan rancangan untuk membina 70 buah banglo di Bukit Gasing.

Hakim tersebut telah mengenepikan permohonan lebih 108 penduduki di sekitar Bukit Gasing agar mahkamah menilai semula keputusan untuk memajukan bukit itu atas alasan alam sekitar.

Hakim Aziah memutuskan pihak penduduk tidak mempunyai hak untuk meminta pihak mahkamah mendengar bantahan mereka berhubung pembangunan itu di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

Bercakap kepada para pemberita selepas penghakiman itu dibuat, peguam pihak pemaju Joslyne Goonting, berkata keputusan itu adalah sesuatu yang melegakan kepada anak guamnya, Gasing Meridian, kerana akhirnya kesahihan mereka untuk membangunkan projek tersebut diputuskan oleh mahkamah sendiri.

Kata peguam itu lagi, selama ini terdapat salah faham daripada masyarakat berhubung status tanah tersebut kerana ramai yang menyangka bahawa kawasan itu adalah milik awam dan wajar dikekalkan sebagai kawasan hijau.

Sebaliknya kata beliau, Gasing Meridian, adalah pemaju yang berdaftar ke atas 71 individu yang memiliki tanah lot berkenaan yang diisukan ke atas mereka sejak tahun 1977 lagi yang mana status tanah itu telah digazetkan sebagai untuk membina bangunan.

Joslyne berkata, tanah-tanah lot itu kesemuanya adalah tanah milik peribadi dan oleh yang demikian, pihak pemaju mempunyai hak untuk memajukan tanah-tanah lot berkenaan dengan para pemiliknya.

Dalam pada itu, peguam para penduduk R.Sivarasa menjelaskan, beliau akan terlebih dahulu berbincang dengan para penduduk yang membuat protes untuk memastikan apakah mereka akan membuat rayuan.

Gasing Meridian adalah pemaju yang dilantik untuk membangun dan membina 70 buah banglo di kawasan seluas 15.4 hektar di Bukit Gasing.

Projek itu telah tergendala selama 30 bulan ekoran kes mahkamah ini. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah memberi kebenaran untuk kerja-kerja meratakan tanah kepada pihak pemaju pada 2 Oktober 2007.

Artikel Berikut

Artikel Lain