suria

Bekas Jurulatih Miliki Dadah Dipenjara, Sebat

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Isnin, memerintahkan seorang bekas jurulatih aktiviti luar menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan, selepas mengaku bersalah memiliki ganja yang disorok di dalam tin biskut, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid memerintahkan Ahamad Kasoma, 42, yang berasal dari Sarawak menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 14 September 2009.

Ahamad didakwa memiliki 389.26 gram ganja pada pukul 6 petang, hari yang sama di rumah nombor G-10, Riverdale Apartment Park, Jalan Mulia 1, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Peguam R.N. Sivaraja memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan.

“Tertuduh melakukan kesalahan ini kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Dia kini sedar perbuatannya bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat, malah telah menghancurkan hidupnya,” tambah beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan serupa.

Artikel Berikut

Artikel Lain