suria

Bekas Jurulatih Dipenjara 8 Tahun, 10 Sebatan Kerana Miliki Ganja

SHAH ALAM: Seorang bekas jurulatih aktiviti luar dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis ganja yang disorokkan di dalam sebuah tin biskut, September tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Ahamad Kasoma, 42, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 14 September tahun lepas.

Tertuduh yang berasal dari Sarawak didakwa memiliki ganja seberat 389.26 gram di rumah nombor G-10, Riverdale Apartment Park, Jalan Mulia 1, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 6 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara tertuduh diwakili peguam R.N. Sivaraja. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain