suria

Risda Peruntuk RM31.8 Juta Untuk Bayar Dividen Kepada Pekebun Kecil

BENTONG: Risda memperuntukkan RM31.8 juta untuk membayar dividen kepada 8,697 pekebun kecil yang terlibat dalam Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata para peserta rancangan itu perlu bijak berbelanja dan bekerja lebih gigih lagi bagi meningkatkan pendapatan.

Beliau berkata kerajaan melalui agensi seperti Risda dan Pusat Penyelidikan Getah sentiasa menjalankan penyelidikan untuk mengeluarkan benih klon getah terbaru bagi menghasilkan susu getah yang banyak dan bermutu.

"Bagaimanapun usaha itu tidak membawa sebarang makna jika para pekebun sendiri tidak mengikut nasihat Risda dan berusaha untuk memastikan kebun getah mereka dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dividen RTBB dan TSK 2010 peringkat Negeri Pahang di sini, Ahad.

Turut hadir Timbalan Pengarah Risda Datuk Ali Nordin dan Pengarah Risda Negeri Pahang Datuk Mujahid Mohamed.

Adnan berkata peserta RTBB dan TSK perlu mencontohi ramai kalangan pekebun kecil bukan Melayu yang dilihat lebih gigih mengusahakan kebun mereka.

Katanya ada sesetengah pekebun kecil tidak menjalankan kerja-kerja membaja mengikut jadual kerana baja bantuan yang diberikan itu dijual kepada orang lain.

"Sikap seperti itu hanya merugikan diri sendiri kerana pokok getah mereka tidak mendapat mengeluarkan hasil susu getah yang banyak dan bermutu kerana tidak cukup baja," katanya.

Beliau berkata jika pekebun kecil getah mengamalkan sikap malas, usaha kerajaan untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan terutamanya miskin tegar tidak akan berjaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain