suria

Puteri Umno Giat Daftar 66,000 Anggota

MELAKA: Pergerakan Puteri Umno sedang giat mendaftarkan kesemua 66,000 anggotanya sebagai pengundi sebelum Mac tahun depan, bagi memastikan Umno mempunyai sokongan kukuh pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin berkata, pergerakan itu menyasarkan untuk mendaftarkan 50 peratus daripada jumlah itu sebagai pengundi menjelang akhir tahun ini, dan bakinya sebelum Mac 2011.

"Kita ada 315,473 anggota, Mac tahun depan semua mereka sudah daftar sebagai pengundi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bilik Gerakan Pilihan Raya Puteri Umno Melaka oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam,Sabtu.

Beliau berkata Puteri Umno telah menubuhkan 13 bilik gerakan di setiap negeri dan 191 lagi semua bahagian UMNO di seluruh negara menjelang akhir bulan depan.

Katanya, bilik gerakan itu penting bagi memastikan bilangan anggota Umno bertambah dan pertambahan daftar pemilih bagi menguatkan jentera Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Mohd Ali berkata sejumlah 10,800 anggota Umno di Melaka belum mendaftar sebagai pengundi dan kebanyakannya baru mencapai usia 21 tahun.

Beliau berkata 5,100 daripadanya merupakan anggota Umno dari sayap Pemuda, Puteri (3,700) dan Wanita (700), manakala bakinya anggota biasa.

"Penting bagi kita untuk menjaga kerusi yang telah kita pegang, di samping itu, kita cuba rampas kerusi yang dimiliki oleh parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mohd Ali berkata bilik gerakan Puteri Umno bertindak sebagai barisan hadapan parti bagi memastikan perkara itu berlaku.

Dalam perkembangan lain, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata kementeriannya memandang serius wabak denggi yang setakat ini meragut 103 nyawa di seluruh negara.

Beliau berkata pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan telah diambil bagi memastikan wabak itu tidak menular.

"Kes kematian ini amat membimbangkan kerana meningkat 20 peratus berbanding tahun lepas, dan tahun ini masih belum berakhir," katanya yang meminta orang ramai bekerjasama menghapuskan nyamuk Aedes serta menjaga kebersihan kawasan sekitar.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain