suria

Polis Guna CCTV Sepenuhnya Kawal Jenayah, Kesesakan Sepanjang Perayaan

KOTA BARU: Polis Kelantan akan menggunakan pelbagai pendekatan berkesan termasuk menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawal kesesakan lalu lintas dan jenayah jalanan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Kota Baharu DSP Che Noh Che Pa berkata pihaknya telah mengenalpasti 16 lokasi strategik terutama di pusat bandar ini yang akan mengalami kesesakan berikutan orang ramai pulang untuk menyambut Hari Raya.

"Kita akan sedaya upaya berusaha mengatur strategi dalam usaha membendung masalah kesesakan dan kemungkinan kejadian jenayah jalanan sepanjang musim perayaan ini," katanya kepada Bernama, di sini Ahad.

Beliau turut menasihatkan pemandu agar mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti tidak meletak kenderaan di merata tempat yang boleh menghalang pergerakan kenderaan dan menyebabkan kesesakan.

Sementara itu, mengenai cadangan untuk memindahkan operasi bas ekspres ke kawasan Bandar Baru Tunjong untuk tempoh seminggu sebelum dan selepas Hari Raya, Che Noh berkata ia tidak praktikal kerana akan menjejaskan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam membuat pemeriksaan dan pemantauan tiket bagi bas ekspres biasa dan bas tambahan khas musim perayaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain