suria

Golongan Gelandangan Akan Dibantu:Shahrizat

KUALA LUMPUR: Golongan gelandangan atau tidak berumah akan dibantu melalui program kerjasama dengan badan bukan kerajaan agar masalah berkenaan tidak menjadi semakin kronik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata kementeriannya melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan membantu golongan berkenaan mendapat pekerjaan tetap di samping menyediakan rumah perlindungan untuk mereka.

"Kita sudah memulakan usaha ini tapi kita perlu bantu mereka dari segi perubahan minda kerana ramai antara mereka yang rasa selesa hidup tidak berumah.

"Kita tak boleh biar, kesihatan mereka kita kena jaga, begitu juga makan minum mereka. Visi kita bagi tentukan mereka tak lagi gelandangan. Kita perlu keluarkan mereka dari jalanan.

"Kita akan tentukan program-program dilaksanakan, tak boleh biarkan mereka berkeliaran tak ada siapa bantu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan juadah berbuka puasa kepada orang ramai di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, Ahad.

Shahrizat berkata biarpun masalah itu tidak kronik seperti di sesetengah negara lain tetapi orang gelandangan tidak seharusnya wujud di negara ini memandangkan Malaysia mempunyai peluang pekerjaan yang mencukupi serta institusi keluarga yang masih mantap.

Sebanyak 2,500 bungkusan makanan diagihkan dalam program anjuran kementerian tersebut, YKN dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Naib Pengerusi Kebangsaan PBSM Datuk Wan Azhar Wan Mohd Ali berkata program itu merupakan kesinambungan kepada program "Red Cresent Mobile Clinic" yang diadakan pada awal Ramadan melibatkan pengagihan 1,000 bungkusan juadah berbuka setiap hari kepada orang ramai.

Katanya program itu akan diteruskan walaupun selepas berakhirnya Ramadan sebagai program timbal balas untuk membantu golongan yang memerlukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain