suria

Tidak Akan Terlepas Jika Hina Agama - TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak ada mana-mana pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah menghina mana-mana agama yang diamalkan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang berat perkara itu terutamanya yang menyentuh sensitiviti agama kerana ia boleh mencetuskan kemarahan selain boleh menimbulkan pelbagai masalah khususnya soal keselamatan dan hubungan baik antara kaum di negara ini.

"Kita tidak boleh biar sesiapa sahaja baik orang Islam atau bukan Islam untuk mempermainkan agama mana-mana kaum," tegasnya ketika diminta mengulas gejala menghina agama Islam melalui laman sosial Facebook sejak kebelakangan ini.

Semalam Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) telah membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah menggunakan kata-kata kesat.

Akaun Facebook yang didaftarkan dengan nama Katy Lim Li Lian didakwa telah memaparkan komen yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Kes itu merupakan insiden terbaru membabitkan sensitiviti kaum selepas Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor membuat satu laporan polis pada 1 September lalu berhubung kewujudan satu akaun Facebook menggunakan nama 'Melayu Babi'.

Baru-baru ini, seorang pemuda dari Muar, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee turut mencetuskan kontroversi kerana menghasilkan klip video berbaur perkauman.

Muhyiddin berkata, walaupun 'serangan serangan' itu dibuat melalui laman sosial Facebook, tetapi beliau yakin ada cara yang boleh digunakan untuk membuktikan kesahihan dan identiti pelaku yang tidak bertanggungjawab itu.

"Hal sebegini sepatutnya tidak timbul kerana kita sudah lama hidup dalam negara yang aman dan tenteram, saling hormat menghormati sesama agama. Kenapa satu agama lain harus mencemarkan satu agama lain," katanya.

Katanya banyak negara lain di dunia yang berdepan masalah hanya kerana timbulnya konflik agama, justeru beliau tidak mahu Malaysia turut tenggelam dalam krisis seumpamanya kerana ia pasti akan membawa bahaya pada negara, berdasarkan komposisi rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang budaya.

"Agama Islam kalau dipermainkan, pasti akan menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia kerana kita sebuah negara yang mempunyai penganut Islam yang besar.

"Kalau agama lain pun, seperti Sikh, Hindu atau Buddha pun pasti tidak mahu orang Islam buat satu lagi FB atau apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama lain.

"Bagi kita ini amat bahaya dan saya yakin pihak berkuasa yang telah menerima laporan akan bertindak tegas dan keras kerana kita hendak elak hal-hal sebegini daripada menjadi masalah besar kepada negara," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan ke atas Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, Kulai, Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

"Saya percaya ada instrumen sesuai yang boleh digunakan," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, kertas siasatan berhubung insiden pengetua sekolah itu akan dibentangkan kepada Lembaga Disiplin Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas Hari Raya Aidilfitri.

Langkah itu, katanya, akan menentukan sama ada kertas pertuduhan akan dikeluarkan atau tidak terhadap pengetua tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain