suria

Tempat Sampah Biak Nyamuk Aedes - Liow

TELUK INTAN: Tapak-tapak pembuangan sampah dikenalpasti sebagai kawasan "panas" tempat pembiakan aedes yang menjadi punca wabak denggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata mengikut kajian, indeks aedes di kawasan tapak pembuangan sampah mencecah 8.5 peratus berbanding standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang dari satu peratus.

Wabak denggi di negara ini masih di tahap yang serius dan kementerian telah menubuhkan pasukan petugas di setiap daerah bagi menangani wabak berkenaan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di sini Sabtu.

Liow berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh pegawai daerah dan dianggotai Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi itu akan turut menganjurkan program bersepadu gotong royong membersihkan kawasan perumahan daripada sampah sarap.

Beliau berkata usaha itu perlu dilaksana bagi mengurangkan kadar kematian akibat denggi dan mencegah penularan wabak itu yang sehingga kini mencatat 103 kematian.

Sementara itu, Liow berkata empat Klinik Bergerak 1Malaysia akan beroperasi tahun ini.

Klinik bergerak itu akan memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan kaunseling di kawasan pedalaman termasuk kawasan penempatan orang asli, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain