suria

Remaja Hidap Barah Tulang Terima Kerusi Roda Elektrik

BESUT: Aidilfitri kali ini lebih bermakna bagi Wan Omar Wan Hussain, 18, remaja menghidap penyakit barah tulang dari Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut apabila menerima sebuah kerusi roda elektrik dari kerajaan negeri.

Kini penderitaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut yang telah lebih empat tahun terlantar dan terpaksa dibantu untuk bergerak berakhir dengan adanya kerusi roda bernilai RM5,500 itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyerahkan kerusi roda elektrik itu kepada Wan Omar dalam satu majlis ringkas yang diadakan di rumah pelajar itu, di sini petang Jumaat.

Ketika ditemui Bernama, Wan Omar berkata beliau amat bersyukur kerana pemberian itu bukan sahaja membolehkannya bergerak bebas malah yang lebih penting beliau tidak akan menyusahkan orang lain sekiranya mahu pergi ke satu-satu tempat. Remaja itu berkata penyakitnya mula dikesan ketika beliau berumur 15 tahun dan beliau masih belajar dalam Tingkatan Tiga.

Katanya, selepas itu beliau mula mendapatkan rawatan dengan berulang alik dari rumah ke hospital dengan dibantu oleh ayahnya yang bekerja sebagai seorang buruh hampir setiap minggu.

Wan Omar berkata penyakitnya bertambah serius beberapa tahun lalu menyebabkan beliau tidak mampu berjalan.

"Saya sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi selepas daripada itu terus terlantar di rumah," katanya.

Katanya kerusi roda yang diterimanya seolah-olah memberi nafas baru dalam hidupnya kerana sekurang-kurangnya ia membolehkan beliau bergerak bebas tanpa perlu dibantu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada kerajaan yang amat prihatin untuk membantu pesakit sepertinya untuk menyambung hidup. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain